PADA usia 15 tahun, Mohd. Nasrul Ahmad Tajuddin sering menemani neneknya yang diserang strok ringan sebelah badan, untuk menjalani rawatan fisioterapi di sebuah hospital di utara tanah air.
Niatnya hanya satu, mahu melihat nenek tercinta kembali pulih seperti sediakala. Namun, tiada siapa menyangka kekerapan berbuat demikian membuatkan Nasrul mula jatuh cinta dalam bidang fisioterapi.
Apatah lagi melihat perkembangan fizikal neneknya yang dapat berjalan semula, ia terus menguatkan semangat anak kelahiran Jitra, Kedah itu untuk menceburi kerjaya dalam bidang berkenaan.
“Sebaik sahaja keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, saya terus mengisi borang Unit Pusat Universiti (UPU) untuk melanjutkan pelajaran dengan Kursus Fisioterapi termasuk dalam senarai utama daripada lapan kursus yang dipilih,” imbau Mohd. Nasrul yang kemudian ditawarkan mengikuti Kursus Diploma Fisioterapi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada bulan Jun 2001.
Skop tugas
Secara umum, skop tugas seorang fisioterapi adalah untuk membantu merawat dan memulihkan pesakit yang mengalami kecederaan fizikal. Terdapat dua aspek kerjaya dalam bidang tersebut iaitu fisioterapi sukan dan fisioterapi hospital.
Menurut Mohd. Nasrul yang bertugas sebagai Pegawai Fisioterapi Sains Sukan di bawah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), tugas keduanya adalah sama tetapi pendekatannya berbeza.
“Selalunya tugas hakiki fisioterapi di hospital adalah untuk membantu pesakit kembali menjalani kehidupan sehari-hari, manakala fisioterapi sukan pula cenderung untuk membantu atlet kembali beraksi.
“Jadi, masing-masing mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin bagi memastikan setiap pesakit atau atlet mendapat manfaat daripada setiap rawatan yang dijalankan,” ujar Mohd. Nasrul yang berpengalaman hampir enam tahun dalam kerjaya fisioterapi.
Bermula pada 2004, Mohd. Nasrul pernah berkhidmat untuk pasukan futsal kebangsaan, skuad bola sepak bawah 15, 16, 17 dan 20; skuad Harimau Muda B (bawah 19) dan kini bertanggungjawab membantu memulihkan kecederaan pemain bola sepak dalam skuad Harimau Muda A (bawah 21).
Tetapi, sebelum itu, Mohd. Nasrul tidak lokek berkongsi cerita tentang kerjaya pertama sebagai fisioterapi di Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) pada 1 Mei 2004 sejurus tamat pengajian.
Jelas bapa kepada cahaya mata lelaki bernama Naufal Nadhil, 2, itu, tawaran bekerja di MSNS diterima dengan hati terbuka memandangkan namanya telah dicadangkan sendiri oleh Ketua Program Fisioterapi UiTM, Aslinda Che Mood.
Pegawai senior
Sewaktu bertugas sempena Sukan Malaysia (Sukma 2004) di Negeri Sembilan, Mohd. Nasrul terpaksa mengendalikan tiga orang pegawai fisioterapi sambilan bagi membantu kontinjen Selangor menjayakan kejohanan sukan dwi-tahunan tersebut.
“Bayangkan tiga orang tersebut merupakan merupakan orang yang saya kenali dan hormati dalam bidang ini. Mereka terdiri daripada senior dan pensyarah saya ketika di UiTM iaitu Siti Fazilah Jamaluddin dan Romizan Jathin serta tutor semasa praktikal di Institut Sukan Negara (ISN), Rosnah Mat Yatim.
“Walaupun pada mulanya rasa rendah diri kerana perlu memberi arahan kepada orang yang berpengalaman dan jauh lebih senior daripada saya, tetapi alhamdulillah tugas tersebut berjaya dilaksanakan dengan baik. Ternyata mereka sangat profesional,” ungkap Mohd. Nasrul sambil bibirnya pantas menguntum senyuman.
Meskipun seronok bertugas di MSNS, tetapi Mohd. Nasrul terpaksa mengucapkan selamat tinggal pada kerjaya di sana lima bulan kemudian apabila menerima tawaran bekerja di FAM bermula 1 Oktober 2004.
info : Kolony-Dicipta untuk berangkaian social. Kenakan infeksi!
Di FAM, beliau diletakkan bersama skuad futsal kebangsaan di bawah kendalian jurulatih import yang dalam persediaan menghadapi Kejohanan Futsal di Taiwan dan berlepas tiga hari kemudiannya.
“Jadi, saya hanya ada masa tiga hari untuk membuat persiapan barang keperluan fisioterapi dan perubatan untuk menyertai kejohanan tersebut. Tetapi, semuanya berjalan lancar walaupun ia kali pertama saya bertugas di luar negara,” tambahnya.
Sebagai pengamal fisioterapi sukan, Mohd. Nasrul menegaskan kepentingan dalam membuat keputusan pantas terutama sewaktu bertugas untuk sesuatu perlawanan.
Contohnya, ketika atlet atau pemain mengalami kecederaan semasa beraksi, pegawai fisioterapi perlu menilai tahap kecederaan tersebut dan membuat keputusan dalam kadar segera sama ada atlet itu boleh meneruskan permainan atau dia perlu diganti dengan pemain lain.
“Ini sangat penting kerana percaturan dalam pertukaran pemain adakalanya mengubah corak permainan,” beritahu Nasrul sambil memaklumkan setiap kali perlawanan, dia sentiasa berdoa agar ‘tidak akan masuk ke dalam padang’. Jika keadaan itu berlaku, in bermakna ada atlet yang telah mengalami kecederaan.
Kerjasama baik
Tidak ketinggalan, seorang fisioterapi juga perlu menjalin hubungan yang rapat dengan atlet bagi membentuk kerjasama yang baik antara mereka. Hal ini secara tidak langsung dapat memudahkan mereka mengadu sebarang masalah yang dialami tanpa sebarang halangan.
Perkara ini diakui oleh pemain bola sepak skuad Harimau Muda A, Muhammad Feris Daniel Mat Nasir, 18, yang menganggap hubungan antara fisioterapi dan atlet akrab seperti abang-adik.
Muhammad Feris yang baru menyertai skuad tersebut akhir tahun lalu, turut memuji khidmat fisioterapi yang diberikan Nasrul dengan cemerlang.
“Kami dianggap seperti ahli keluarga sendiri dan sentiasa berkongsi masalah dengan fisioterapi yang ada.
“Walaupun hubungan itu mesra, tetapi ia berlangsung secara profesional kerana mereka (fisioterapi) tetap seorang pegawai dalam pasukan dan kami adalah atlet yang mempunyai tanggungjawab untuk digalas,” tutur Muhammad Feris yang baru pulih dari mengalami kecederaan hamstring dan buku lali.
sumber daripada KOSMO & http://infokesihatan-fp.blogspot.com/2011/04/rawatan-pulih-kecederaan-fizikal-kosmo.html
No comments:
Post a Comment