Wednesday, 8 August 2012

Chong Wei ketepi soal cedera





CHONG WEI dikatakan masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali kanan.


“BUKAN masa untuk fikir mengenai kecederaan lagi.” Demikian tegas jurulatih perseorangan badminton negara, Tey Seu Bock mengenai tahap kecederaan buku lali kanan yang dialami Datuk Lee Chong Wei menjelang Sukan Olimpik 2012 di London yang akan membuka tirai secara rasmi Jumaat ini.
Seu Bock berkata, kini apa yang penting buat Chong Wei ialah fokus bagi menghadapi setiap perlawanan yang perlu diharu- nginya di bumi London nanti.
“Jika saya katakan kecederaan Chong Wei sudah seratus peratus pulih, itu bohong. Dia masih ada berasa sakit-sakit lagi tetapi itu tidak membimbangkan dan masih dalam keadaan terkawal.
“Yang penting, ia tidak mengganggu tumpuan Chong Wei bagi melakukan persiapan untuk Sukan Olimpik kali ini. Dia tidak boleh terlalu memikir- kan sangat mengenai kecederaan yang dialaminya itu.
“Tidak kira apa jua situasi sekali- pun, dia perlu menghadapinya dengan sikap positif. Sukan Olimpik kali ini penting buat dirinya dan dia perlu kekal fokus dalam usaha meraih pingat emas,” kata Seu Bock ketika dihubungi Kosmo! di United Kingdom kelmarin.
Terdahulu, Chong Wei yang diletak- kan sebagai pilihan pertama, menerima tamparan hebat ketika melaku- kan persiapan menghadapi temasya Olimpik 2012 selepas mengalami kecederaan buku lali kanan ketika beraksi pada kempen Piala Thomas 2012 di Wuhan, China, Mei lalu.
Ia merupakan kali kedua Chong Wei mengalami kecederaan tahun ini sele- pas dia mengalami kecederaan di bahagian bahu kanannya ketika menen- tang seteru utamanya, Lin Dan dari China pada aksi final Seluruh England 2012, Mac lalu.
Ditanya sama ada tekanan kini dirasai Chong Wei sebelum acara badminton membuka tirainya di Arena Wembley, Sabtu ini, Seu Bock berkata: “Sepanjang menjalani latihan di University of Bath (United Kingdom), dia tidak menampakkan sebarang tanda-tanda tertekan.
“Namun, mungkin situasinya akan menjadi berbeza apabila dia tiba di venue pertandingan. Kita kena ingat, Sukan Olimpik adalah sesuatu yang berbeza berbanding mana-mana kejohanan lain.
“Sudah pasti tekanannya juga berbeza. Jadi, dia perlu terus kekal fokus agar tidak terlalu dibayangi dengan tekanan yang mungkin dirasainya nanti pada Sukan Olimpik kali ini.”
Chong Wei yang juga pemain No. 2 dunia itu diletakkan sebagai sandaran utama kontinjen Malaysia bagi memburu pingat emas pertama di London.
Pada Sukan Olimpik kali ini, dia telah diundi dalam Kumpulan A dan hanya perlu menentang Ville Lang dari Finland.

sumber daripada KOSMO

Monday, 16 July 2012

Rawatan pulih kecederaan fizikal (Kosmo Online)






PADA usia 15 tahun, Mohd. Nasrul Ahmad Tajuddin sering menemani neneknya yang diserang strok ringan sebelah badan, untuk menjalani rawatan fisioterapi di sebuah hospital di utara tanah air.
Niatnya hanya satu, mahu melihat nenek tercinta kembali pulih seperti sediakala. Namun, tiada siapa menyangka kekerapan berbuat demikian membuatkan Nasrul mula jatuh cinta dalam bidang fisioterapi.
Apatah lagi melihat perkembangan fizikal neneknya yang dapat berjalan semula, ia terus menguatkan semangat anak kelahiran Jitra, Kedah itu untuk menceburi kerjaya dalam bidang berkenaan.
“Sebaik sahaja keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, saya terus mengisi borang Unit Pusat Universiti (UPU) untuk melanjutkan pelajaran dengan Kursus Fisioterapi termasuk dalam senarai utama daripada lapan kursus yang dipilih,” imbau Mohd. Nasrul yang kemudian ditawarkan mengikuti Kursus Diploma Fisioterapi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada bulan Jun 2001.
Skop tugas
Secara umum, skop tugas seorang fisioterapi adalah untuk membantu merawat dan memulihkan pesakit yang mengalami kecederaan fizikal. Terdapat dua aspek kerjaya dalam bidang tersebut iaitu fisioterapi sukan dan fisioterapi hospital.
Menurut Mohd. Nasrul yang bertugas sebagai Pegawai Fisioterapi Sains Sukan di bawah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), tugas keduanya adalah sama tetapi pendekatannya berbeza.
“Selalunya tugas hakiki fisioterapi di hospital adalah untuk membantu pesakit kembali menjalani kehidupan sehari-hari, manakala fisioterapi sukan pula cenderung untuk membantu atlet kembali beraksi.
MOHD. NASRUL bertanggungjawab memastikan kecederaan pemain bola sepak skuad Harimau Muda A Bawah 21 pulih sepenuhnya sebelum mereka dapat kembali beraksi bersama pasukan.


“Jadi, masing-masing mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin bagi memastikan setiap pesakit atau atlet mendapat manfaat daripada setiap rawatan yang dijalankan,” ujar Mohd. Nasrul yang berpengalaman hampir enam tahun dalam kerjaya fisioterapi.
Bermula pada 2004, Mohd. Nasrul pernah berkhidmat untuk pasukan futsal kebangsaan, skuad bola sepak bawah 15, 16, 17 dan 20; skuad Harimau Muda B (bawah 19) dan kini bertanggungjawab membantu memulihkan kecederaan pemain bola sepak dalam skuad Harimau Muda A (bawah 21).
Tetapi, sebelum itu, Mohd. Nasrul tidak lokek berkongsi cerita tentang kerjaya pertama sebagai fisioterapi di Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) pada 1 Mei 2004 sejurus tamat pengajian.
Jelas bapa kepada cahaya mata lelaki bernama Naufal Nadhil, 2, itu, tawaran bekerja di MSNS diterima dengan hati terbuka memandangkan namanya telah dicadangkan sendiri oleh Ketua Program Fisioterapi UiTM, Aslinda Che Mood.
Pegawai senior
Sewaktu bertugas sempena Sukan Malaysia (Sukma 2004) di Negeri Sembilan, Mohd. Nasrul terpaksa mengendalikan tiga orang pegawai fisioterapi sambilan bagi membantu kontinjen Selangor menjayakan kejohanan sukan dwi-tahunan tersebut.
“Bayangkan tiga orang tersebut merupakan merupakan orang yang saya kenali dan hormati dalam bidang ini. Mereka terdiri daripada senior dan pensyarah saya ketika di UiTM iaitu Siti Fazilah Jamaluddin dan Romizan Jathin serta tutor semasa praktikal di Institut Sukan Negara (ISN), Rosnah Mat Yatim.

SESI urutan di bahagian kaki bagi melancarkan perjalanan darah.


“Walaupun pada mulanya rasa rendah diri kerana perlu memberi arahan kepada orang yang berpengalaman dan jauh lebih senior daripada saya, tetapi alhamdulillah tugas tersebut berjaya dilaksanakan dengan baik. Ternyata mereka sangat profesional,” ungkap Mohd. Nasrul sambil bibirnya pantas menguntum senyuman.
Meskipun seronok bertugas di MSNS, tetapi Mohd. Nasrul terpaksa mengucapkan selamat tinggal pada kerjaya di sana lima bulan kemudian apabila menerima tawaran bekerja di FAM bermula 1 Oktober 2004.
info : Kolony-Dicipta untuk berangkaian social. Kenakan infeksi!

Di FAM, beliau diletakkan bersama skuad futsal kebangsaan di bawah kendalian jurulatih import yang dalam persediaan menghadapi Kejohanan Futsal di Taiwan dan berlepas tiga hari kemudiannya.
“Jadi, saya hanya ada masa tiga hari untuk membuat persiapan barang keperluan fisioterapi dan perubatan untuk menyertai kejohanan tersebut. Tetapi, semuanya berjalan lancar walaupun ia kali pertama saya bertugas di luar negara,” tambahnya.
Sebagai pengamal fisioterapi sukan, Mohd. Nasrul menegaskan kepentingan dalam membuat keputusan pantas terutama sewaktu bertugas untuk sesuatu perlawanan.
Contohnya, ketika atlet atau pemain mengalami kecederaan semasa beraksi, pegawai fisioterapi perlu menilai tahap kecederaan tersebut dan membuat keputusan dalam kadar segera sama ada atlet itu boleh meneruskan permainan atau dia perlu diganti dengan pemain lain.
“Ini sangat penting kerana percaturan dalam pertukaran pemain adakalanya mengubah corak permainan,” beritahu Nasrul sambil memaklumkan setiap kali perlawanan, dia sentiasa berdoa agar ‘tidak akan masuk ke dalam padang’. Jika keadaan itu berlaku, in bermakna ada atlet yang telah mengalami kecederaan.
HUBUNGAN Muhammad Feris (kiri) selaku pemain bola sepak dan Mohd. Nasrul yang merupakan pegawai fisioterapi erat seperti abang dan adik.


Kerjasama baik
Tidak ketinggalan, seorang fisioterapi juga perlu menjalin hubungan yang rapat dengan atlet bagi membentuk kerjasama yang baik antara mereka. Hal ini secara tidak langsung dapat memudahkan mereka mengadu sebarang masalah yang dialami tanpa sebarang halangan.
Perkara ini diakui oleh pemain bola sepak skuad Harimau Muda A, Muhammad Feris Daniel Mat Nasir, 18, yang menganggap hubungan antara fisioterapi dan atlet akrab seperti abang-adik.
Muhammad Feris yang baru menyertai skuad tersebut akhir tahun lalu, turut memuji khidmat fisioterapi yang diberikan Nasrul dengan cemerlang.
“Kami dianggap seperti ahli keluarga sendiri dan sentiasa berkongsi masalah dengan fisioterapi yang ada.
“Walaupun hubungan itu mesra, tetapi ia berlangsung secara profesional kerana mereka (fisioterapi) tetap seorang pegawai dalam pasukan dan kami adalah atlet yang mempunyai tanggungjawab untuk digalas,” tutur Muhammad Feris yang baru pulih dari mengalami kecederaan hamstring dan buku lali.

Kecederaan Dalam Sukan


Kecederaan Dalam Sukan

Rawat lutut pecah (Kosmo Online)

KHAIRUL FAIZI (kiri) mengendalikan kamera yang dimasukkan ke dalam lutut Mazlina melalui satu insisi kecil di Pusat Perubatan Pantai di Kuala Lumpur pada Mac lalu. - Gambar ihsan www.footandankleproblems.blogspot.com


TAEKWONDO merupakan sejenis sukan lasak yang boleh membawa risiko kecederaan di kaki dan seluruh anggota badan.
Sepanjang hampir lima tahun terlibat dalam sukan tersebut, tiada satu pun kecederaan serius pernah penulis alami.
Namun, siapa sangka hanya sekadar terjatuh ketika mahu membonceng motosikal, lutut penulis mengalami cedera teruk sehingga terpaksa dibedah.
Ceritanya bermula berikutan urat berwarna kehijau-hijauan mula timbul pada bahagian lutut pada malam 13 Mac lalu.
Kesakitan tersebut begitu menggusarkan sehingga mendesak penulis berkejar ke Hospital Pantai Medical Cheras.
“Tulang rawan lutut awak sudah pecah, saya akan rujuk (kes) awak kepada doktor pakar ortopedik,” kata seorang doktor klinik pesakit luar.
Namun, ia sedikit pun tidak menimbulkan kebimbangan kerana penulis menganggap kecederaan itu tidaklah seteruk mana.
LATIHAN fisioterapi penting untuk mengelak masalah lutut bertambah kronik terutama terhadap ahli sukan profesional.


Koyak
Bagaimanapun, segala-galanya berubah tatkala Perunding Pakar Bedah Ortopedik, Kaki dan Pergelangan Kaki hospital berkenaan, Dr. Khairul Faizi Mohammad menghuraikan maklumat terperinci mengenai punca kesakitan penulis.
Menurut Khairul Faizi, lutut penulis bengkak akibat pendarahan sekali gus menerangkan fenomena urat hijau yang tiba-tiba timbul pada 13 Mac lalu.
“Ini dibuktikan apabila darah sebanyak 100 mililiter (ml) disuntik dan dikeluarkan daripada lututnya (Mazlina).
“Justeru, untuk merawat kesakitan ini, saya mengesyorkan pesakit menjalani pembedahan yang dipanggil sebagai artroskopi,” kata Khairul Faizi kepada Jurnal baru-baru ini.
Pembedahan tersebut menggunakan kaedah memasukkan satu unit kamera khas pada bahagian lutut pesakit untuk meneliti tahap kecederaan serta luka di bahagian sendi lutut, jelas beliau.
Kaedah itu juga membenarkan doktor mengesan dan melakukan rawatan terhadap bahagian-bahagian yang cedera.
Hasil pembedahan peringkat awal mendapati tiga kecederaan yang dialami penulis. Pertama, meniskus (pelapik sendi lutut) pada lutut terkoyak dan kedua, rawan pada permukaan tulang paha penulis cedera.
Potong
Pada masa sama, bahagian ligamen krusiata anterior yang menyambungkan lutut dan paha turut terkoyak.
Kecederaan pada bahagian ligamen krusiata anterior jarang berlaku terhadap pesakit biasa tetapi ia sering dialami pemain bola sepak, ragbi dan American Football.
“Dalam kes Mazlina, saya beranggapan mungkin beliau jatuh dengan hentakan yang kuat.
“Jika ia lebih kuat, bahagian utama pada lutut iaitu ligamen krusiat posterior (ligamen belakang lutut), kepala lutut dan ligamen kolateral turut berpotensi untuk cedera,” kata Khairul Faizi.
Susulan pemeriksaan itu, satu prosedur pembedahan diatur dan ia berlangsung selama tiga jam pada 16 Mac lalu.
Jelas Khairul Faizi, pasukan perubatan memotong bahagian meniskus yang koyak dan merapikan bahagian koyak sehingga menjadi rata.
Kecederaan rawan yang dialami penulis dirawat melalui teknik microfracture iaitu satu insisi lubang kecil pada tulang dan rawan.
Pakar kemudian menyuntik ubat ke dalam lutut pesakit sebanyak tiga kali berturut-turut.
KERETAKAN pada bahagian rawan ditunjukkan oleh anak panah.


Impak
Walaupun kini sudah beransur sembuh, Khairul Faizi menyatakan penulis dan pesakit-pesakit lain akan merasai kesan jangka panjang rentetan kecederaan itu masih ada.
Meniskus dan rawan yang cedera pada kebiasaannya tidak akan sembuh seperti asal sekali gus menyebabkan golongan tersebut berpotensi mengalami radang sendi atau artritis dengan lebih cepat.
Radang sendi biasanya melibatkan pelbagai aspek penyakit sendi yang menyebabkan rasa sakit, hilang pergerakan dan pembengkakan pada sendi tubuh.
Secara saintifiknya, meniskus berfungsi sebagai kusyen lutut sementara rawan berfungsi sebagai permukaan licin di permukaan sendi untuk membenarkan sendi bergerak dengan lancar.
Pergerakan sendi lutut perlu dilakukan sejurus selepas pembedahan demi menjamin kesejahteraan permukaan rawan, jelas Khairul Faizi.
Pada masa yang sama, pesakit dilarang sama sekali bersukan dan terbabit dalam acara lasak untuk tempoh sehingga empat bulan.
Peringatan itu sangat penting bagi membolehkan rawan kembali pulih dengan kaedah rawan berserat.
Kelazimannya pada peringkat awal, latihan fisioterapi digalakkan dengan tujuan untuk mengembalikan kekuatan otot-otot sendi.
Sekiranya ia tidak dilakukan, pesakit dikhuatiri sukar bergerak dan kadangkala berlaku simptom sakit pada lutut atau sendi.
PEMAIN bola sepak, Cristiano Ronaldo pernah mengalami masalah kecederaan lutut.


Bahaya urut
Khairul Faizi tidak meggalakkan urutan tradisional pada bahagian itu kerana ia akan menyebabkan kecederaan bertambah parah.
Pesakit juga diberikan makanan tambahan seperti glucosamine atau dengan kaedah suntikan terus ke dalam sendi lutut, katanya.
Bagaimanapun kecederaan yang dialami penulis jarang berlaku terhadap kanak-kanak kerana bahagian seperti meniskus, rawan dan ligamen krusiat posterior jarang menimpa golongan itu.
Jelas Khairul Faizi, kanak-kanak mempunyai bahagian meniskus, rawan dan ligamen krusiat posterior yang lebih kuat berbanding individu dewasa.
Golongan itu lebih cenderung mengalami patah tulang berbanding cedera pada bahagian meniskus, jelas beliau.
Seperti kebanyakan pesakit berkaitan tulang yang lain, penulis turut diingatkan supaya memastikan berat badan berada pada tahap ideal.
Jelas Khairul Faizi, semakin tinggi indeks jisim badan (BMI) seseorang, semakin teruk kecederaan yang akan mereka dialami manakala jisim ideal adalah antara 20 hingga 25.

sumbe rdaripada KOSMO & http://infokesihatan-fp.blogspot.com/2011/04/kecederaan-dalam-sukan.html